Pages

Friday, April 29, 2011

Media Sosial Ancam Demokrasi?

JUMAAT,  29 April 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Alvin dan Heidi Toffler dalam buku mereka, Creating a New Civilization:  The Politics of the Third Wave tidak menolak kemungkinan bahawa sebagaimana peralihan dari Gelombang Pertama ke Gelombang Kedua, peralihan ke Gelombang Ketiga juga  dicemari oleh keganasan. Bahkan, mereka mengingatkan bahawa hari ini, pertaruhan lebih tinggi, masa terlalu pendek, kelajuan lebih pantas, dan dengan itu, bahaya lebih besar.  “Segala-galanya bergantung pada kebolehubahan dan kepintaran elit, subelit, dan super-elite   pada hari ini.  Jika kumpulan ini tidak panjang akal,  tidak imaginatif, dan takut, seperti yang dialami oleh kebanyakan golongan  pemerintah pada masa lalu, maka mereka menentang dengan keras terhadap Gelombang Ketiga, dan dengan itu, memburukkan lagi risiko keganasan dan kemusnahan mereka sendiri.”  Sesuatu yang perlu diinsafi bahawa perjalanan  Gelombang Ketiga ini, baik atas nama demokrasi mahupun kebebasan, sememangnya cukup bergelora.
Sementara Robert D. Kaplan dalam  bukunya, Warrior Politics: Why Leadership Demands a Pagan Ethos, menegaskan bahawa kejahatan dan kecelakaan pada abad ke-20 mungkin juga bangkit daripada gerakan populis, mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, didorong kali ini oleh kepercayaan agama dan taifah, dan diperkasa oleh Revolusi pasca-Perindustrian: terutamanya teknologi maklumat.  Kaplan mengemukakan contoh, puak pelampau Hindu yang merobohkan masjid di India pada awal tahun 1990-an dan menyerang orang Kristian pada akhir 1990-an adalah menganggotai gerakan kelas pekerja dalam demokrasi India yang menggunakan kaset video dan Internet untuk menyebarkan mesej. 
Penyebaran maklumat, tulis Kaplan, “tidak semestinya menggalakkan kestabilan.  Ciptaan mesin cetak oleh Johannes Gutenberg pada pertengahan abad ke-15 bukan hanya membawa kepada  Reformasi, tetapi juga perang agama yang menyusulinya, kerana tiba-tiba pertumbuhan pesat teks memacu  kontroversi doktrin dan membangkitkan kilanan yang sudah lama terpendam.”
Sejak tercetusnya Pemberontakan Arab kedua yang setakat ini menumbangkan dua rejim, dan beberapa rejim lagi sedang terumbang-ambing, peranan media, seperti al-Jazeera yang telah dibincangkan dalam “Al-Jazeera Alat Imperialis?”,  WikiLeaks, dan media sosial, seperti Facebook dan  Twitter,  banyak dibahaskan.  Pastinya, perbahasan itu  kadangkala nampaknya berlebih-lebihan hingga mengaburi faktor keberanian dan kecekalan rakyat Arab sendiri.  Demikian faktor perjuangan demokrasi dan kebebasan membayangi kegagalan dasar ekonomi neoliberal yang dilaksanakan di beberapa negara Arab, seperti Tunisia dan Mesir. Di Syria, meskipun revolusi belum  berjaya, peranan Facebook turut diketengahkan: Halaman Facebook Revolusi Syria 2011.  “Kami menanti revolusi ini bertahun-tahun.  Kini, perubahan melanda seluruh Timur Tengah, dan generasi Facebook yang memulakannya,” tulis Mona Eltahawy tatkala  api revolusi  mula  membakar rantau itu.
Namun, tersebar luasnya dalam pemberontakan alat  rangkaian sosial, seperti Facebook, YouTube,  dan Twitter, seperti yang diperingatkan oleh Michael Hardt dan Antonio Negri, “ialah simpton, bukannya sebab atau punca, struktur organisasi ini.  Ini merupakan ragam penyataan keupayaan penduduk yang pintar menggunakan instrumen ini dalam tangan untuk mengatur sesuatu secara autonomi.
Melihat peranan media sosial dalam pemberontakan di Mesir yang akhirnya menghasilkan kejayaan,  seorang bapa yang tidak dapat menyembunyikan keterujaannya menamakan bayi perempuannya, Facebook.  Kesedaran peranan halaman Facebook dalam mencetuskan revolusi mungkin   terus mekar dalam budaya semasa Mesir sepanjang masa, mungkin nama itu akan menjadi inspirasi yang berkekalan dan membangkitkan tindakan.  Tulis Roze  Kaveney, “Anak Facebook Jamal Ibrahim akan membesar dalam kebebasan, termasuk kebebasan, harapan kita, untuk meringkaskan ‘Facebook’ kepada huruf pertama FB jika itu diutamakan oleh dirinya, atau kehilangannya sama sekali.”
Dalam “Who’s Behind Egypt’s Revolt?” misalnya,  Robert Dreyfuss menyentuh peranan Facebook yang pada April 2008, mempunyai lebih 80,000 ahli.  Apakah faktor yang membangkitkan pemberontakan di Mesir, yang menumbangkan Hosni Mubarak, seperti yang dibahaskan oleh Sam Graham-Felsen, “bergantung pada siapa anda mendengar, Internet,  sama ada adalah segala-galanya ataupun tidak  ada kena mengena sama sekali.”   Bahkan, ada yang cuba membuat perhitungan bahawa kehebatan gerakan Internet di Mesir kemungkinan dapat merebak ke negara lain, seperti Iran dan China.
“Revolusi ini bermula dalam talian,” kata Wael Ghonim,  beberapa minit selepas Mubarak meletakkan jawatan. “Revolusi ini bermula pada Facebook.”  Tambah eksekutif pemasaran Google yang menjadi aktivis itu, “Saya selalu kata, jika anda mahu membebaskan masyarakat, hanya berikan mereka Internet.  Jika anda mahu lahirkan masyarakat bebas, hanya berikan Internet.  Alasannya ialah bahawa Internet menolong anda menentang perang media.” Ghonim, rakyat Mesir  yang bekerja di Dubai, seperti yang diketahui, menggunakan perniagaan dan kemahiran reka bentuknya untuk membina komuniti protes Facebook berdasarkan slogan “Kita Semua Khaled Said,” iaitu seorang pemuda yang dibunuh dengan kejam oleh polis Mesir.  Melalui Facebook itu, orang ramai boleh menyertai protes dalam talian. Kempen Ghonim yang namanya tidak diketahui akhirnya menarik 473,000 penyokong dalam talian, satu jumlah yang ketara, bahkan di negara yang saiz Mesir yang penduduknya 85 juta orang.
“Facebook, Twitter, dan media sosial lain,” tulis Christopher Walker dan Robert W. Orttung dalam The New York Times, merevolusikan landskap akhbar dunia, membantu menyingkirkan diktator di Tunisia dan Mesir, dan membangkitkan protes di Bahrain dan Syria.”  Namun, Walker dan Orttung mengingatkan cengkaman kuat institusi media lama yang dikawal oleh kerajaan, seperti yang berlaku di Mesir, Libya, dan Syria.  “Meskipun media sosial merupakan alat yang penting untuk mencipta keterbukaan politik, kumpulan penentang memerlukan saluran nasional jika pembaharuan institusi yang kukuh berlaku dalam masyarakat yang perlu menahan manipulasi dan penindasan yang luar biasa.”
Dalam mengalu-alukan Pemberontakan Arab, Perdana Israel, Shimon Peres, menulis dalam The Guardian, bahawa Timur Tengah perlu membuat pilihan yang bersejarah, iaitu menyertai zaman global baru keamanan demokratik dan ekonomi liberal, atau terus bergayut pada sejarah masyarakat tertutup dan autokrasinya.  Pemberontakan besar ini, bahas beliau, digerakkan  oleh orang muda dan wanita, untuk mendapatkan kebebasan, rezeki, dan harapan. Israel memerhatikanya dengan harapan yang tinggi.  Peristiwa ini tidak pernah berlaku dan tidak dirancang. “Internet, Facebook, dan Twitter mencipta komunikasi massa dan ruang sosial yang rejim tidak dapat kawal. Kemajuan ini membolehkan orang muda membandingkan nota dengan golongan sebaya mereka  di negara lain, dan melihat dengan jelas bagaimana kerajaan mereka membazirkan kekayaan dan masa untuk terus mencengkam kuasa mereka, tetapi mengabaikan keperluan rakyat mereka.  Keadaan ini membuka mata golongan orang muda itu.” 
Dalam keluaran akhir tahun lalu,   majalah Time melalui “Person of the Year”    Fareed Zakaria mengemukakan pandangan dunia dengan   mengisytiharkan Tahun Mikroterorisme.  Teknologi yang mencetuskan anjakan kuasa yang berbahaya.  Dan, banyak yang lagi akan muncul.  Walaupun kebanyakan orang sedar bahawa   bermacam-macam ancaman di sekeliling mereka, namun tidak banyak yang dapat mengungkapkannya secara berkesan, bahkan mungkin tidak banyak menganggapnya secara serius.  Fareed yang berpindah dari  Newsweek, melahirkan pemerhatiannya untuk tahun 2010:  “Ini merupakan tahun yang diwarnai oleh ekonomi, iaitu pemulihan yang lembap, krisis di Eropah, pakej rangsangan, potongan cukai, dan debat belanjawan.   Dasar luar dijadikan kurang berita.”  Justeru, beliau sedar bahawa mungkin kedengaran aneh untuk menyebut tahun ini ialah tahun keganasan.  Akan tetapi, inilah hakikatnya.” 
Pendemokrasian teknologi, akses, maklumat, dan semua perkara baik, Fareed mengingatkan,  juga tidak boleh disekat membawa kepada pendemokrasian keganasan.  Tanpa peringatan seperti itu mungkin tidak banyak orang sedar bahaya mikroterorisme  yang menunggangi kuasa yang sangat kuat yang sedang melanda dunia, iaitu pendemokrasian teknologi.  “Di mana-mana sahaja kita lihat,” tulis beliau, “kuasa beranjak daripada  institusi besar kepada individu yang bermotivasi.”  
Merujuk pemberontakan di Dunia Arab, Steve Coll dalam ulasan buku dalam The New York Review of Books, mempersoalkan, sama ada Internet untuk kebaikan atau keburukan.  Beliau mengakui bahawa memang tidak dapat disangkal bahawa media sosial memainkan peranan dalam revolusi di Tunisia dan Mesir, di samping protes yang masih berlaku di negara Arab dan Muslim lain, terutamanya negara dengan dalam talian dan penduduk besar agak besar, seperti Maghribi dan Bahrain.  “Facebook dan rangkaian digital lain mampu mempercepat komunikasi politik dan menyediakan alan yang cekap untuk menganjurkan protes.  Dalam kombinasi dengan penyiar satelit, seperti al-Jazeera, rangkaian dalam talian dapat mendokumenkan penyalahgunaan kerajaan dengan cepat dan menyebarkan kesedaran mereka.”
Namun, Coll membangkitkan bahawa sama ada Internet, jika dibandingkan dengan teknologi komunikasi sebelum ini yang juga memperhebat hubungan dalam kalangan  orang ramai yang berselerak, iaitu telegraf, radio, televisyen, telefon, mesin faks, telefon sel, mempunyai sifat unik yang memberikan kelebihan kepada para penggunanya berbanding dengan pihak berkuasa berpusat.  “Persoalan berkaitan,” tulis beliau, “melibatkan apakah teknologi komunikasi sebenarnya memajukan kebebasan bersuara dan perhimpun, atau menolog penduduk yang tidak berpuas hati memberontak.”
Dalam “The Mash of Civilizations”  Niall  Ferguson menegaskan bahawa rangkaian sosial mungkin menggalakkan demokrasi, tetapi juga memperkasa musuh kebebasan. Selain mengakui kebenaran yang diakui secara universal  bahawa teknologi maklumat, terutamanya rangkaian sosial melalui Internet mengubah keseimbangan kuasa global, Ferguson juga mengakui “Generasi Facebook” disanjung kerana menumbangkan diktator Mesir, Hosni Mubarak.  “Untuk tempoh yang singkat, kesayangan Dataran Tahrir ialah eksekutif Google, Wael Ghonim.”  Namun, beliau mengingatkan bahagian lain untuk cerita itu bahawa bukan hanya penyokong demokrasi yang tahu bagaimana mengeksploit kuasa rangkaian dalam talian, tetapi juga musuh kebebasan juga boleh berbuat demikian.  Beliau mengemukakan senarai panjang musuh kebebasan yang kesemuanya ialah golongan Islamis.
Melalui kolumnya dalam Newsweek itu, Ferguson mengingatkan bahawa pertembungan peradaban adalah mudah untuk Barat untuk menang jika Barat hanya melekukkan idea dan institusi abad ke-21 menentang idea dan institusi abad ketujuh. Tiada tuah begitu.  Dalam lumat peradaban baru, musuh kita yang paling bahaya, beliau mengisytiharkan, golongan Islamis yang faham bagaimana memasukkan fatwa pada Facebook, menghantar e-mel Qur’an, dan menciak seruan terhadap jihad.”
Mimpi indah tentang peranan media sosial, khususnya dalam Pemberontakan Arab kedua, mula dihantui oleh igauan ngeri.  Media ini bukan sahaja musuh kepada rejim atau diktator, bahkan juga terhadap amalan demokrasi dan kebebasan.  Sesiapa sahaja boleh menggunakan media sosial demi memenuhi agenda mereka, dan Malaysia tidak terkecuali – sesungguhnya, banyak contoh yang boleh dikemukakan.

No comments:

Post a Comment